Singapura Cipta Skuter Tanpa Pemandu


Singapura: Penyelidik di Singapura menemui penyelesaian bagi mengatasi kemalangan membabitkan pejalan kaki yang obses dengan telefon bimbit, sebuah skuter pandu sendiri yang membawa orang ramai ke sesuatu lokasi.

Kenderaan empat roda dan satu tempat duduk seberat 50 kilogram itu bergerak selaju enam kilometer sejam dan mempunyai penderia laser yang membantunya mengelak halangan.

Skuter yang dibangunkan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) itu adalah eksperimen kenderaan tanpa pemandu terbaru Singapura dalam visi menggunakan teknologi autonomi bagi berdepan cabaran kekurangan tanah dan buruh.

Kenderaan itu berjaya dalam beberapa ujian dalam kampus dan penyelidik berkata, ia mampu membaiki perjalanan bagi setiap peringkat umur, mengurangkan penggunaan kereta serta kadar kemalangan.

“Saya yakin anda pernah mempunyai pengalaman berlanggar dengan orang yang menggunakan telefon bimbit sambil berjalan.

“Jadi lebih baik anda duduk atas skuter ini sambil memeriksa e-mel. Kami memberi anda lebih pilihan,” kata Profesor Madya NUS dan ketua projek, Marcelo Ang Jr.

Projek kerjasama dengan Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Gabungan untuk Penyelidikan dan Teknologi Singapore-MIT dan NUS itu akan menjalani ujian lanjut tetapi bukan untuk dijual. - Reuters

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA