Si Gadis Gilakan Ayam Sabung


MERSING - Hobi gadis yang satu ini memang agak berbeza sedikit dengan gadis seusianya.

Siti Asmahul Husnah Maarof, 22, dari Mersing Kanan mempunyai hobi, membela ayam sabung yang kini menjadi teman baharunya sejak beberapa bulan lalu.

Pada awalnya, anak bongsu daripada lima beradik ini tidak begitu berminat dengan ayam sabung namun selepas diperkenalkan oleh seorang kenalan dari Kedah, dia mula jatuh hati.

“Saya bela ayam sama macam orang lain bela kucing dan arnab. Saya suka juga kucing tapi lebih minat kepada ayam.

“Saya jadikan ayam sebagai haiwan kesayangan dan pencinta ayam pastinya rasa apa yang saya rasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Asmahul Husnah atau lebih mesra dipanggil Faira menegaskan ayam sabung yang menjadi kegilaan baharunya itu bukan untuk dilagakan seperti yang disangka.

“Ayam laga ini tak semestinya untuk diadu. Saya bela sebab saya minat.

“Memang ada yang kata minat saya ini pelik tapi minat orang berbeza-beza dan pasti ada kepuasan masing-masing pada akhirnya,” katanya.

Dalam tempoh enam bulan ini, dia sudah mempunyai tiga ekor ayam diberi nama Endoi, Roshi dan Bulma.

“Ayam yang saya ada ini muda lagi. Ayam batang kaki roma putih namanya Endoi, saya beli daripada rakan manakala dua lagi warna kelabu baka pama, Roshi dan Bulma yang kecil.

“Saya masih tunggu baka baharu bulan depan,” katanya yang begitu teruja menanti kedatangan ahli baharunya itu.

Siti Asmahul Husnah menghabiskan hampir tujuh jam sehari untuk membelai dan melayan ketiga-tiga teman baharunya itu.

“Biasanya saya habiskan tiga jam pagi, tiga jam petang dan satu jam malam.

“Malam pun kena selalu jenguk bimbang ada binatang lain ganggu,” katanya.

Menurutnya lagi, dia bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakannya begitu menyokong walaupun hobinya itu kedengaran agak pelik.

Siti Asmahul Husnah dan keluarganya berpindah ke Mersing dari Pontian sejak empat tahun lalu selepas pemergian Allahyarham bapanya dan kini bekerja sambilan di wakaf Darul Quran sementara menanti panggilan kerja awal tahun depan. - SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA