Sg Seblak, Batang Krian lokasi tuai buaya liar

KUCHING: Sungai Seblak dan Batang Krian dijangka dijadikan sebagai kawasan penuaian buaya liar di negeri ini, susulan penurunan taraf kategori buaya daripada Apendiks I kepada Apendiks II yang membolehkan buaya di Sarawak diburu dan diperdagangkan.

Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, ini memandangkan kedua-dua sungai tersebut mempunyai kepadatan populasi buaya yang tinggi sekali gus menangani konflik antara reptilia itu dan manusia.

“Berdasarkan survei terkini yang telah dijalankan, kepadatan buaya di Sungai Seblak adalah 1.84 individu per kilometer dan 1.6 individu per kilometer di Batang Krian berbanding 1.1 individu per kilometer bagi keseluruhan Sarawak.

“Kepadatan populasi buaya melebihi satu individu per kilometer ini membolehkan Sungai Seblak dan Batang Krian dijadikan kawasan yang berpotensi untuk penuaian buaya liar,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Namun demikian, Len Talif berkata, penuaian buaya di kedua-dua sungai tersebut adalah tertakluk mengikut kuota yang ditetapkan dalam skop Apendiks II.

Dalam pada itu, beliau berkata pemburuan atau penakaian buaya liar terutama yang mengancam nyawa hanya boleh dibuat dengan mendapatkan kebenaran daripada kontroler hidupan liar.

Tambahnya, pengeluaran lesen juga akan memberi keutamaan kepada penduduk setempat untuk menuai buaya-buaya liar.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini kebanyakan operasi penakaian buaya ganas dilakukan oleh unit SWAT, Sarawak Forestry Corporation (FC) dengan bantuan agensi kerajaan lain dan penduduk tempatan.

Terdahulu, Len Talif berkata sebanyak tujuh operasi menangkap buaya telah dilakukan oleh unit SWAT, SFC di Sungai Seblak dan Batang Krian di mana 16 ekor buaya dewasa telah berjaya dikeluarkan dari sungaisungai terbabit.

“Operasi penakaian ini akan dilaksana secara berterusan,” katanya.

Terdapat dua spesies buaya di Sarawak iaitu buaya katak (buaya air masin) dan buaya jejulong (buaya air tawar).

Pada 1979, kedua-dua spesies buaya itu telah disenarai sebagai haiwan terlindung disebabkan populasinya yang diancam kepupusan ketika itu.

Kerajaan juga telah meletakkan sembilan langkah proaktif bagi mengurus buaya di Sarawak melalui arahan kabinet pada 20 September 2012.

Antaranya penubuhan zon bebas buaya di pusat utama penduduk dan kawasan rekreasi popular, menjalankan kajian buaya secara meluas di semua sungai utama seluruh negeri, menubuhkan kawasan perlindungan buaya serta menggalakkan kajian mengenai buaya oleh institusi pengajian tinggi. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA