SFC Gagalkan Pembalakan Haram Di Sibu


KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menggagalkan satu lagi kegiatan pembalakan haram dengan yang terbaharu di Pulau Dudong, Sibu pada Isnin lepas.

Namun demikian, pasukan penguat kuasa yang bertugas di Pusat Aduan Setempat (OSCC) SFC di Jalan Ulu Oya agak terkejut dengan cara kayu balak haram itu dipindahkan dari kawasan ia ditebang.

“Penjenayah menggunakan sistem ‘kuda-kuda’ yang panjang untuk melakukan operasi haram itu. Sebanyak 302 batang balak yang dipotong pendek spesies benuang, berukuran 1.3 hingga 2.6 meter dengan volum keseluruhan kira-kira 10 meter padu ditemui dalam serbuan kali ini.

“Didapati tiada lesen dikeluarkan untuk menebang kayu balak dari kawasan itu dan semua balak berkenaan dirampas,” jelas SFC dalam satu kenyataan akhbar semalam.

“Benuang spesies yang kurang popular dan ditemui di dalam hutan sekunder. Penebangan spesies ini menunjukkan pembalak haram terdesak mencari sumber lain dari hutan sekunder disebabkan penguatkuasaan ketat dalam Estet Hutan kekal,” tambah kenyataan itu.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sibu Jaya kelmarin dan kes itu diserahkan kepada pihak berkuasa relevan untuk siasatan lanjut dan pemusnahan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA