Sedia Hadapi Tindakan Jika Sertai Perhimpunan Tanpa Notis


KUCHING: Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang mengadakan perhimpunan tanpa notis termasuk Perhimpunan Bersih 5 yang dijadualkan 19 November ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak,  Datuk Mazlan Mansor berkata, semua ibu pejabat polis di setiap daerah juga sudah menerima notis berhubung perhimpunan yang dijalankan pada Sabtu ini .

Bagaimanapun, sebarang perhimpunan tanpa notis yang mempunyai agenda tersendiri dan tidak mendapat kelulusan, peserta harus menanggung risiko sendiri jika diambil tindakan undang-undang.

"Sekarang Akta Perhimpunan Aman telah dilaksanakan dan prosos permohonan harus dibuat secara terus kepada pihak polis daerah masing-masing." katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) 2016 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini sebentar tadi.

Mazlan memberitahu pihaknya mempunyai strategi sendiri untuk mengawal perhimpunan tersebut dalam memastikan keselamatan terutama membabitkan keselamatan orang awam dan juga kelancaran lalu lintas di tempat berkenaan.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai pengendali laman facebook ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021’ menuntut polis untuk memohon maaf kepadanya Mazlan menjelaskan pihaknya hanya menjalankan tugas mengikuti undang-undang berdasarkan laporan yang diterima.-Sarawakiana


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA