Seramai 3,747 Usahawan Bumiputera Luar Bandar Terima SPED


KUALA LUMPUR: Seramai 3,747 usahawan Bumiputera luar bandar seluruh negara sudah menerima pembiayaan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) dari 2001 hingga September lalu, membabitkan peruntukan RM376 juta.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata secara purata usahawan yang menerima kemudahan pembiayaan SPED berjaya meningkatkan hasil perniagaan sekurang-kurangnya 20 peratus.

"Menerusi kejayaan usahawan skim ini, usaha kerajaan mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) di luar bandar sudah tercapai dan akan diteruskan," katanya dalam sesi soal jawab Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) yang ingin mengetahui bilangan pengusaha Bumiputra luar bandar yang mendapat kemudahan SPED dan kejayaan melahirkan MPPB di luar bandar.

Nanta berkata, SPED ialah usaha berterusan kerajaan meningkatkan pendapatan dan mewujudkan MPPB dalam kalangan penduduk luar bandar.

Katanya, SPED ditubuhkan pada 2001 dan skop pembiayaannya meliputi pembelian mesin, peralatan, modal kerja dan ubah suai atau menaik taraf premis perniagaan.

"Keunikan skim ini ialah peminjam tidak mengenakan syarat cagaran atau penjamin manakala dua bank pelaksana SPED ialah Bank Rakyat dan SME Bank," katanya. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA