Sepatutnya Harga Petrol Naik 20 sen


Harga minyak runcit petrol sepatutnya naik 20 sen seliter untuk bulan ini dan bukannya 15 sen seperti yang diumumkan oleh Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).

Bagaimanapun, Perdana Menteri mahu harga runcit bahan bakar itu diturunkan sedikit, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

"Untuk perhatian anda, berdasarkan harga bulan Oktober kenaikan harga minyak sepatutnya sebanyak 20 sen tetapi Perdana Menteri mahu harga itu diturunkan sedikit, tidak boleh kenaikan terlampau banyak," katanya ketika ditemui di Sidang Kemuncak Pasaran Modal di sini.

Menjelaskan kenaikan harga minyak, Johari berkata, orang ramai perlu faham tentang pengiraan harga minyak yang dibuat berdasarkan pada bulan sebelumnya.

Seperti penentuan harga minyak bulan ini, purata harga dikira daripada 1 Oktober hingga 31 Oktober.

Purata harga bulan Oktober dijadikan harga runcit pada bulan November.

Untuk bulan Disember, pengiraan akan dilakukan pada awal November hingga akhir November.

"Kalau harga (minyak) jatuh pada bulan November maka harga minyak bulan Disember akan jatuh. Kita bukan menggunakan harga minyak setiap hari tetapi sebulan sebelumnya," katanya.

Faktor kedua yang menentukan harga minyak ialah nilai ringgit, jika mata wang domestik jatuh, ia juga menjadi faktor kepada harga minyak pada bulan seterusnya.

Tegas Johari, walaupun Malaysia menggunakan pengapungan harga pada bahan bakar tetapi kerajaan masih memperuntukkan sebanyak RM400 juta untuk subsidi minyak. - MalaysiaGazette

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA