Seorang Maut, Tiga Cedera Parah Dalam Nahas Dua Motosikal


KUCHING - Seorang remaja lelaki maut,manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Batu 5, Jalan Matang-Malihah di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa, Mohd Tarmizi Bujang, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badannya.

Manakala, mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Muhammad Aliff Fazli Bujang, 15, dan Muhamad Syahmi Abdullah, 21.

Bagaimanapun, mangsa keempat belum lagi dikenal pasti setakat ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Alexson Naga berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kris Modenas dikatakan dalam perjalanan dari arah Matang menuju ke Taman Malihah di sini.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang hendak memasuki simpang sebelah kanan tiba-tiba bertembung dengan sebuah motosikal Honda EX5 yang ditunggang oleh Muhamad Syahmi dari arah bertentangan.

"Impak pelanggaran itu mengakibatkan Mohd Tarmizi cedera parah dan maut serta-merta di lokasi kejadian.

"Tiga lagi mangsa yang turut parah telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan kecemasan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.

Alexson menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Kosmo

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA