Seorang Lagi Mangsa Tongkang Karam Dijumpai

Seorang Lagi Mangsa Tongkang Karam Dijumpai
DARO – Satu lagi mayat awak-awak tongkang membawa muatan batu kelikir yang karam di perairan Laut China Selatan berhampiran Kampung Betanak, Pulau Bruit Sabtu lepas dijumpai hari ini.

Menurut pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Daro, Inspektor Mohamad Fariz Ayub, mayat tersebut adalah Abang Kamal Abang Awie, 30-an, ditemukan di kedudukan lima batu nautika dari Kampung Penipah.

“Mayat dikesan terapung pada 12.30 tengah hari oleh unit udara PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang kemudiannya menghubungi bilik operasi bagi meminta bantuan. Satu bot penyelamat digerakkan ke lokasi untuk mengambil mayat tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mayat Abang Kamal yang berasal dari Kampung Dit, Debak dibawa ke Hospital Daro dan telah dikenal pasti oleh keluarganya.

Operasi mencari dan menyelamat hari kedua semalam menemui satu mayat lelaki dipercayai awak-awak warga Indonesia dikenali sebagai Angga Wahyudi, 24.

Sehingga kini dua lagi mangsa belum ditemukan iaitu jurugan tongkang dikenali sebagai Pawi Nyawan, 50-an dan isteri kepada Abang Kamal yang setakat ini hanya dikenali sebagai Mera.

Dalam kejadian antara 9 hingga 10 malam pada Sabtu lepas, dua lagi awak-awak kapal berkenaan, Melvin Francis, 20 dari Serian dan Kenny Clement, 18 dari Bintangor terselamat apabila berpaut pada buritan tongkang yang terbalik selepas dipukul ombak kuat. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA