Senapang Buatan Sendiri Untuk Memburu Dirampas


TAWAU – Dua laras senapang buatan sendiri dipercayai digunakan untuk kegiatan memburu secara haram dirampas Jabatan Perhutanan Sabah, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata ketika kejadian kira-kira 5.30 petang itu, pasukan operasi jabatan berkenaan serta anggota Yayasan Sabah sedang membuat sekatan jalan dan operasi berkaitan pemburuan haram di sekitar kawasan Hutan Simpan Gunung Rara di Luasong, Kalabakan.

“Ketika operasi, pasukan tersebut terserempak dengan dua individu mencurigakan sedang berjalan kaki dan kedua-dua suspek bertindak melarikan diri menuju ke dalam Hutan Simpang Gunung Rara.

“Dua senjata api buatan sendiri dijumpai berhampiran dengan lokasi suspek melarikan diri. Senapang tanpa peluru itu masing-masing berukuran panjang 28 dan 30 inci berwarna hitam dan perak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata senjata api tersebut kemudian diserahkan ke Balai Polis Tawau.

“Anggota pasukan operasi tidak dapat mengecam suspek memandangkan mereka berada kira-kira 200 meter jauh daripada suspek,” katanya bahawa kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA