Sembunyi Biawak, Kura-Kura Dalam Bagasi



Bangkok: Seorang wanita warga Jepun ditahan dan didakwa cuba menyeludup kura-kura dan biawak dari spesies terancam ke Tokyo melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini, kelmarin.

Maki Takahashi, 44, bersama bayinya yang berusia enam bulan ditahan pada jam 9.50 malam (waktu tempatan) kelmarin ketika cuba menaiki pesawat ke Tokyo.

Polis berkata, Maki ditahan selepas petugas lapangan terbang melihat sesuatu bergerak di dalam bagasi wanita berkenaan.

Apabila bagasi itu dibuka, petugas terkejut menemui 32 kura-kura, lapan biawak dan 15 biawak air di dalam bagasi berkenaan.

Wanita itu kemudian dibawa ke balai polis Suvarnabhumi untuk disoal siasat sebelum didakwa.

Maki memberitahu polis, seorang lelaki menawarkan wang berjumlah 100,000 yen (RM3,984) untuk membawa bagasi berkenaan dari Thailand ke Jepun.

Wanita itu mendakwa dia tidak tahu kandungan bagasi berkenaan.

Ujarnya, dia menerima tawaran itu kerana ditinggalkan bekas suaminya dan perlu menjaga bayi lelakinya yang baru berusia enam bulan.

Kata polis, wanita itu didakwa atas tuduhan cuba memperdagangkan haiwan dilindungi. - Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA