‘Selesai kes culik cara diplomasi’


KUALA LUMPUR: Malaysia, Indonesia dan Filipina perlu bekerjasama dan berusaha dalam memantapkan operasi taktikal bagi menangani isu penculikan yang kerap kali berlaku di sekitar kawasan sempadan perairan negara.

Penasihat Presiden Filipina Mengenai Proses Damai, Jesus Dureza berkata, terdapat banyak isu yang perlu ditangani oleh negara-negara terlibat bagi menangani masalah yang berlaku berhubung keselamatan di kawasan sempadan perairan terbabit.

“Saya percaya isu ini perlu diselesaikan secara aman, diplomasi dan mengikut undang-undang antarabangsa.

“Dengan kerjasama daripada negara-negara ini, kita akan dapat mengatasi masalah yang berlaku di perairan sempadan negara-negara terlibat,” katanya ketika sesi temu bual khas bersama Sinar Harian, kelmarin.

Dalam pada itu, Dureza berkata, kebanyakan lanun atau penjenayah di kawasan perairan sempadan negara melakukan kegiatan penculikan dan menyamun ke atas bot serta kapal-kapal yang membawa muatan kargo.

Beliau berkata, kegiatan penculikan ini bertujuan mendapatkan sejumlah wang tebusan, namun tidak melibatkan sebarang ideologi.

“Di luar sana, mereka (lanun) melakukan penculikan hanya untuk mendapatkan wang dan kerajaan Filipina tidak dapat mengekang kegiatan ini secara berseorangan, sebaliknya memerlukan bantuan negara-negara jiran terlibat,” katanya.

Selain itu, Dureza berkata, kerjasama di antara negara-negara sempadan perlu dilaksanakan secara meluas memandangkan penjenayah-penjenayah terlibat dalam kegiatan penculikan ini dapat melarikan diri ke negara seberang dengan mudah.

Menurutnya, pelaksanaan pengaturan secara bersama dengan negara-negara terlibat di lokasi perairan sempadan akan mendorong lanun serta penjenayah untuk tidak lagi tertumpu di kawasan tersebut.

“Ini merupakan perkara penting kerana situasi penculikan yang berlaku akan memberi kesan kepada negara-negara terlibat ini khususnya dalam aspek perdagangan.

“Para pedagang akan takut untuk menggunakan kawasan perairan berikutan ancaman daripada kes-kes penculikan ini,” katanya.

Menyentuh mengenai ancaman daripada kumpulan Daesh, Dureza memaklumkan bahawa kerajaan Filipina sememangnya mempunyai kebimbangan berikutan daripada perkembangan tersebut termasuk di kawasan selatan Filipina serta Selat Sulu.

Menurutnya, kerajaan Filipina sentiasa komited dalam kerjasama serantau daripada aspek keselamatan serta perkongsian risikan.

“Kami ingin mewujudkan perjanjian bagi menjalankan rondaan yang diselaraskan di Laut Sulu serta mendalamkan usaha untuk membanteras ancaman keganasan tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Dureza berkata, kerajaan Filipina turut menghargai peranan Malaysia sebagai mediator bagi mengakhiri konflik antara Manila dan Bangsamoro.

Katanya, Perjanjian Perdamaian Pertama antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), iaitu hasil fasilitasi dari Indonesia di bawah payung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dicapai pada tahun 1996.

“Bekas Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo telah meminta bantuan Malaysia menjadi fasilitator dalam proses perundingan seterusnya.

“Buat masa ini, kami (kerajaan Filipina) sedang dalam proses mengimplementasikan perjanjian tersebut.

“Terdapat kegagalan dalam perjanjian awal sebelum ini kerana undang-undang itu tidak mendapat kelulusan daripada kongres disebabkan oleh beberapa isu yang timbul,” katanya.

Dureza berkata, Presiden Filipina, Rodrigo Roa Duterte turut komited dalam membawa keamanan kepada negara itu khususnya di Mindanao.

Menurutnya, pada minggu ini juga, Duterte telah menandatangani Perintah Eksekutif bagi memperluaskan Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro.

“Suruhanjaya itu terdiri daripada 11 ahli Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan 10 daripada kerajaan.

“Suruhanjaya berkenaan ditugaskan untuk merangka Undang-undang Asas Bangsamoro yang akan memberi lebih autonomi kepada rantau ini, di mana ia penting untuk memudahkan proses keamanan.

“Peruntukan daripada perjanjian dengan MNLF pada 1996 yang masih belum diimplementasikan dan Perjanjian Komprehensif 2014 dengan MILF akan disatukan bagi membolehkan undang-undang ini dilaksanakan,” katanya.-Sinar Harian

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA