Sekeluarga Ada 12 Jari Tangan, Kaki


PATNA (India): Ahli keluarga biasanya mewarisi wajah dan bentuk badan yang hampir sama tetapi lain pula kisahnya satu keluarga di India yang kebanyakannya miliki 12 jari tangan atau kaki atau kedua-duanya sekali.

Keluarga Choudhary yang tinggal di kampung Gaya di negeri Bihar, India menganggap ‘kelebihan’ itu satu anugerah dan juga sumpahan.

“Saya menganggap ini satu anugerah untuk keluarga kami kerana mustahil untuk semua ahli keluarga mengalami keadaan yang sama,” kata Sitbiya Choudhary.

Seramai 25 keluarga Choudhary tinggal di kampung Gaya dan hampir semua mereka sama ada memiliki 12 jari tangan atau 12 jari kaki atau kedua-duanya sekali.

“Ini mungkin satu peringatan daripada tuhan,” katanya.

Bagaimanapun, abangnya, Krishna Choudhary, 50, berkata, keadaan itu menyebabkan dia sukar mengahwinkan anak perempuannya.

“Bapa dan datuk saya memiliki 24 jari. Saya bersama abang dan kakak saya juga memiliki keadaan sama termasuk anak serta cucu saya.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan jari saya tetapi ia sangat memberi kesan kepada anak dan cucu saya,” jelasnya.

Menurutnya, dia sukar mencari jodoh untuk ahli keluarga perempuannya kerana ramai lelaki enggan berkahwin dengan mereka.

“Apabila calon lelaki mengetahui keluarga perempuan kami memiliki 12 jari tangan atau kaki, mereka terus menghilangkan diri,” jelasnya.

Tambahnya, dia dan ahli keluarganya yang lain sukar mencari kasut yang sesuai menyebabkan mereka lebih selesa memakai selipar.-Agensi

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA