"Saya Tak Kahwin Dengan Ular" - Anggota Bomba


PETALING JAYA: Anggota bomba Malaysia, Abu Zarin Hussin menerima kejutan pada minggu lepas apabila mendapat tahu agensi-agensi berita antarabangsa mendakwa beliau telah berkahwin dengan ular peliharaannya.

Kisah mengenai Abu Zarin, 31, yang bertugas di Balai Bomba Temerloh, telah dipaparkan dalam portal seluruh dunia termasuklah dalam tabloid British,The Daily Mirror dan The Daily Mail.


Artikel-artikel tersebut telah membuat kesilapan apabila mengenal pasti dirinya sebagai seorang lelaki Thailand yang telah berkahwin dengan ular peliharaannya kerana percaya ular tersebut adalah jelmaan teman wanitanya yang sudah mati disebabkan adanya 'persamaan ketara'.

Malangnya, gambar yang digunakan adalah gambar Abu Zarin bersama ular peliharaannya, dan beliau mengeaskan bahawa sama sekali tidak pernah berkahwin dengan haiwan tersebut.

Sebaliknya, beliau memelihara ular sebagai sebahagian daripada peranannya dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Abu Zarin menjalankan latihan menangkap ular untuk anggota bomba yang sering dipanggil oleh orang ramai untuk menangkap ular sama ada di rumah atau tempat-tempat awam.

"Gambar-gambar itu adalah gambar saya. Mereka menggunakan gambar saya dan membuat cerita, menyatakan bahawa saya telah berkahwin dengan ular," katanya.

"Saya hanya ingin menyatakan kekecewaan saya terhadap sikap segelintir wartawan asing yang jelas bertindak melanggar etika kewartawanan dalam menyiarkan berita, terutamanya kerana gambar-gambar itu jelas diambil dari akaun Facebook saya," katanya kepada The Star Online, Khamis.


Abu Zarin menjelaskan bahawa beliau memelihara ular untuk lebih memahami sifat haiwan itu.

"Apabila ular-ular ini bersama saya, saya dapat memerhatikan tingkah laku mereka. Menangkap ular adalah sebahagian daripada tugas seorang ahli bomba.

"Saya sedang melatih anggota lain bagaimana untuk mengendalikan dan menguruskan ular supaya selepas ditangkap, kita dapat melepaskannya kembali ke habitat semula jadi," katanya.

Katanya, matlamat utama kursus adalah bagi membolehkan anggota bomba dapat membiasakan diri dengan spesis ular, terutama gigitan dan bisanya, dan bagaimana untuk melakukan tangkapan tanpa membunuh.

Abu Zarin berkata beliau tidak menyimpan ular yang sama sepanjang masa. Apabila terdapat ular baharu, beliau akan melepaskan ular sebelumnya ke dalam hutan.


Beliau juga tidak pernah menyimpan ular selama lebih dari satu tahun dan kini mempunyai empat ekor ular di bawah jagaannya.

"Saya mula berlatih dengan ular pada tahun 2007. Minat saya datang daripada bapa saya, yang merupakan seorang penjinak ular. Tetapi bakat saya hanya muncul apabila saya menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya.

"Ular sebenarnya tidak sukar untuk dikendalikan. Terdapat banyak dakwaan palsu di luar sana tentang ular, kononnya haiwan ini ganas atau menyerang manusia.

"Sebelum saya menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat, saya juga takut dengan ular. Namun saya dapat rasakan saya mewarisi bakat bapa dan kini saya masih berlatih dengannya," katanya.

Berdasarkan gambar pada akaun Facebook beliau, Abu Zarin kelihatan sangat selesa dengan ular dan haiwan itu pula tidak menyerangnya.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA