"Saya Setia 101 Peratus" - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau setia 101 peratus kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan sentiasa bersedia untuk membantu Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu dalam kerajaan dan parti.

Timbalan perdana menteri berkata dalam UMNO beliau kini menggalas tanggungjawab sebagai timbalan presiden parti dan keadaan itu memerlukannya untuk bersama-sama dengan presiden mempertahankan dan mendepani segala cabaran yang dihadapi oleh parti.

Katanya, beliau tidak memikirkan soal jawatan sebaliknya berserah kepada ketentuan Allah dalam menentukan perjalanan kerjaya politiknya.

"Saya hanya makan di pinggan yang ada di depan saya, nasi dan lauk yang dihidangkan kepada saya. Saya tidak akan pergi ke meja lain untuk mengambil lauk atau nasi walaupun nasi dan lauk tidak cukup.

"Ertinya, saya akan berada di suatu keadaan di mana saya harus hormati institusi yang ada, dan ia berlaku jika mengikut kehendak Allah," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Temu bual melalui Program Ruang Bicara Khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 itu akan disiarkan saluran televisyen Bernama News Channel (BNC) pada malam esok (26 Nov).

Dalam rancangan bual bicara selama sejam itu Ahmad Zahid antara lain turut mengingatkan orang Melayu khususnya tentang Rukun Iman keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar supaya mereka sentiasa reda dengan ketentuan Allah.

Ahmad Zahid berkata pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini beliau berasa teruja untuk melaksanakan tugas merasmikan secara serentak perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti - pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang dijadualkan pada Selasa.

"Majlis Tertinggi UMNO telah memberi mandat kepada saya untuk merasmikan ketiga-tiga sayap parti pada malam itu dan setelah 21 tahun saya tidak memakai baju Pemuda UMNO, Insya-Allah, saya akan pakai baju Melayu Pemuda UMNO ketika itu sebagai nostalgia untuk diri saya secara peribadi," katanya.

Menyentuh soalan bahawa beliau dilihat ultra Melayu dan sehubungan itu bagaimana beliau dapat membezakan tugas sebagai pemimpin parti dan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata ultra Melayu itu hanyalah satu gelaran namun beliau sentiasa sedar hakikat bahawa Malaysia adalah negara majmuk.

"Akar tunjang kepada negara ini adalah kebangsaan dan tidak bererti apabila Islam dan Melayu diperjuangkan, kita mengenepikan agama lain," katanya.

Beliau berkata sebagai orang nombor dua dalam kerajaan dan menjalankan tugas-tugas orang nombor dua dalam UMNO, sebagai pemimpin beliau harus berlaku adil kepada semua.

"Saya ingin memberikan gambaran bahawa keMelayuan dan keIslaman saya tetap kental tetapi tidak semestinya saya mengenepikan agama dan bangsa lain.

"Saya harus berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia dan ummah keseluruhannya dan masyarakat kita di peringkat antarabangsa dan sejagat," katanya.

Ahmad Zahid bergiat aktif dalam politik sejak dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO bahagian Bagan Datoh pada 1984 dan seterusnya mendaki tangga dalam perjuangan politik UMNO peringkat nasional sehingga berjaya dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia (1996-1999).

Kerjaya politik beliau lebih menyinar apabila dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO selama dua penggal iaitu bagi 2000-2003 dan 2004-2007 sebelum dipilih sebagai seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO selama dua penggal iaitu pada 2008-2011 dan 2013-2016.

Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 28 Julai 2015 menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dalam rombakan Kabinet.-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA