'Saya Di MITI, Minyak Masak KPDNKK, Petrol MoF' - Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan menjelaskan tindakannya tidak menjawab soalan pemberita berkaitan kenaikan harga minyak kerana isu tersebut bukan di bawah tanggungjawab kementeriannya.

Beliau berkata, semua orang tahu hal berkaitan minyak masak di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan petrol pula di bawah Kementerian Kewangan (MoF).

“Saya tidak jawab apabila media semalam tanya tentang harga minyak sebab semua orang tahu yang minyak masak bawah KPDNKK dan petrol bawah MOF. Saya di MITI..,” katanya dalam twit di akaun Twitternya hari ini.

Semalam portal propembangkang menyiarkan video Ahmad bersalaman dengan pemberita dan petugas Parlimen, tetapi tidak melayan soalan pemberita berkaitan isu kenaikan petrol dan minyak masak.

Tindakan itu mengundang kecaman netizen sehingga ada yang sanggup menghina Timbalan Menteri tersebut.

Tidak cukup itu, hari ini timbul pula video yang mempersendakan Ahmad, ekoran daripada penyiaran video tidak menjawab soalan pemberita yang disiarkan portal propembangkang itu.

- Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA