Sarawak Perlukan Lebih Banyak Rumah Kos Sederhana Untuk Penjawat Awam


Kerajaan persekutuan perlu menambah projek perumahan untuk penjawat awam dengan melaksanakan lebih banyak skim perumahan kos sederhana rendah di bawah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin mencadangkan agar rumah seperti itu dengan harga daripada RM100,000 hingga RM150,000 seunit dibina untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap perumahan mampu milik, terutama oleh penjawat awam.

"Rumah di bawah projek jenis seperti ini juga boleh dijual kepada pegawai junior," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Terdahulu, Lee mengumumkan pelaksanaan projek PPA1M Eastwood Valley untuk Bandar Raya Miri melibatkan pembinaan 1,075 unit rumah teres dua tingkat dengan harga tetap RM300,000 seunit, 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran bagi rumah dua tingkat di Bandar Raya Miri.

PPA1M Eastwood Valley akan dibina syarikat pemaju terkenal, Pantai Bayu Indah Sdn Bhd, anggota kumpulan syarikat Samling.

Mengenai pembinaan PPA1M Eastwood Valley, Lee berkata sebagai permulaan, sebanyak 817 unit PPA1M akan ditawarkan kepada pembeli.

"Setakat ini, 600 pemohon telah mendaftarkan diri untuk membeli PPA1M di Miri dan mereka yang berminat mempunyai masa hingga 1 Dis 2016 untuk berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata penjawat awam yang berkhidmat dengan jabatan atau agensi negeri dan persekutuan, majlis tempatan dan badan berkanun, layak memohon.

"Silalah mendaftarkan diri melalui laman sesawang mereka di www.ppa1m.gov.my sekiranya anda berminat untuk membeli," katanya.

Beliau berkata fasa pertama projek itu dijangka siap pada 2018.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA