Sarawak Anggap Transformasi IPG Sebagai Bodoh

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak menganggap keputusan kerajaan pusat untuk mentransformasi Institut Pendidikan Guru (IPG) menjadi Politeknik dan Kolej Vokasional sebagai keputusan bodoh.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau sudah memberitahu Perdana Menteri bahawa keputusan tersebut adalah bodoh.

Menurut The Malay Mail, Adenan berkata Sarawak tidak akan membenarkan IPG di negeri ini ditransformasi seperti yang dicadangkan.

Adenan dilaporkan berkata demikian ketika merasmikan Hari Wanita peringkat negeri di Stadium Tertutup dekat sini pada sabtu.

Pada Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2017 mencadangkan sejumlah sembilan IPG “yang tidak digunakan” di seluruh negara akan ditransformasikan menjadi Politeknik dan Kolej Vokasional sebagai memenuhi keperluan insdustri.

Meskipun keputusan tersebut belum dimuktamadkan, namun Kementerian Pendidikan percaya dua IPG di Sarawak telah dikenalpasti untuk diubahsuai menjadi Politeknik.

IPG adalah pusat latihan untuk bakal guru terlatih milik kerajaan pusat yang berteraskan dasar pendidikan negara.

Kerajaan negeri sebelum ini mencela dasar pendidikan negara sebagai ‘dasar bodoh’, serta bertekad untuk menggubal dasar tersendiri sesuai dengan autonomi negeri.

Namun disebalik ketegasan tersebut, kerajaan negeri mengakui 'kebergantungan', dan transformasi terhadap IPG di negeri ini akan memberi kesan kepada pengambilan guru pelatih di Sarawak serta menyukarkan sasaran 90 peratus guru tempatan dan 10 peratus berasal dari luar Sarawak.

Mengulas lanjut, Adenan dipetik sebagai berkata antara keputusan bodoh yang pernah dibuat oleh kerajaan pusat ialah mengutamakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak pada 30 Oktober lalu mengambil langkah awal dengan mencadangkan agar kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM500 juta untuk membina sekolah persendirian yang sesuai dengan autonomi negeri ini.

Cadangan DAP dilihat sesuai dengan pendapat kerajaan negeri Sarawak yang menyifatkan Dasar Pendidikan Nasional yang digunapakai selama ini adalah suatu yang bodoh, justeru DAP tampil dengan resolusi untuk tidak terikat dengan dasar bodoh itu. - Sarawakiana

1 comment:

  1. Kalau nak tutup IPG jangan libatkan IPG di sarawak dan sabah. Berapa buah je IPG di borneo yang menjadi kemudahan sabah dan sarawak. Kalau nak tutup, tutup je yang disemenanjung sebab setiap negeri agak berdekatan.
    Harap kerajaan negeri tidak tunduk dengan idea kerajaan yang tak masuk akal. Kerajaan pusat selalu bermulut manis, tapi kalau gagal orang lain yang tanggung kesannya.
    Bagaimana kalau IPG yang dikurangkan untuk menampung bilangan guru. Alasan apa yang digunakan mengatakan berlaku lebihan guru. lebihan guru berlaku apabila latih guru yang dihantar ke sabah sarawak 2, 3thn pindah semenanjung, dan berterusan setiap tahun seolah2 sabah sarawak macam transit, jadi yang berlebihannya di semenanjung tapi tak di sabah sarawak.
    Kalau kerajaan dah tak ada bajet tu jangan sampai korbankan nasib pendidikan di malaysia dgn menutup IPG.
    Dapatkah kementerian pastikan semua sekolah dapat guru yang mengajar subjek mengikut opsyen. Sebab, sering didengar keluhan apabila guru terpaksa mengajar subjek yang bukan opsyen mereka. Jadi tak terfikir ke murid diajar guru mengajar subjek yang bukan kepakaran seperti mereka dilatih. Sepatutnya kerajaan lihat lebihan guru dan kekurangan guru berdasarkan opsyen yang diperlukan di sekolah bagi semua subjek teras dan elektif, barulah kita dapat lahirkan ramai rakyat yang berkemahiran dan berpendidikan dalam semua bidang. jangan kita tawarkan subjek dan pelbagai sistem tetapi guru yang mengajar buka opsyen yang sepatutnya.
    Kalau IPG dikurangkan, sudah semestinya bilangan guru yang dilatih akan berkurang dan sudah tentu akan berlaku sekolah akan kekurangan guru yang mengajar mengikut opsyen.Harap ketua menteri sarawak jangan benarkan IPG ditutup, atau dengan kata manisnya ditukar kepada Politeknik dan Pusat Permata.

    ReplyDelete

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA