Sarawak Alami Dua Gangguan Elektrik Dalam Sembilan Jam

KUCHING: Sarawak mengalami dua insiden gangguan bekalan elektrik dalam tempoh sembilan jam dengan gangguan pertama berlaku pada jam 6.38 petang semalam dan satu lagi insiden berlaku pada 3.30 pagi semalam.

Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam satu kenyataan semalam berkata insiden pertama melibatkan Sibu, beberapa kawasan di Mukah dan 30 peratus kawasan di Kuching adalah disebabkan papan litar berganda di Talian Transmisi Kemena-Selangau berkapasiti 275kV terpelantik.

“Keadaan ini dipercayai disebabkan petir memancar dengan kuat di kawasan tersebut,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SEB Lu Yew Hung.

Beliau berkata skim sistem pertahanan SEB diaktifkan dengan serta-merta dan keadaan di Kuching berjaya dikawal untuk mengurangkan jumlah pelanggan yang terjejas dan bekalan pulih sepenuhnya pada jam 6.14 pagi.

“Ini adalah kejadian berasingan daripada insiden Talian Transmisi Oya-Selangau berkapasiti 275kV terpelantik semalam,” kata Lu sambil menambah Sarawak Energy sedang menyiasat punca kedua-dua insiden.

Beliau berkata risiko insiden seperti ini berlaku akan berterusan sehingga talian tramsmisi kedua berkapasiti 500kV siap dan dua hingga tiga gangguan bekalan boleh berlaku dalam setahun sehingga fasa-fasa kritikal projek itu siap. — Bernama

Menurut Lu, talian transmisi berkapasiti 500kV akan menyediakan transmisi tulang belakang kedua dan dapat mengelakkan gangguan bekalan serius jika papan litar berganda terpelantik seperti berlaku pada November 2015 dan Januari 2016.

Beliau berkata dengan adanya dua talian transmisi tulang belakang yang selari, bekalan elektrik dari loji jana kusa utama yang tertumpu di utara seperti Bakun dan Murum akan terus disalur kepada pengguna di Sarawak, terutama di kawasan kepadatan penduduk di selatan jika insiden terpelantik berlaku. — Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA