S4S Rancang Perhimpunan Aman 21 November


KUCHING: Sarawak for Sarawakian (S4S) merancang untuk mengadakan perhimpunan aman pada 21 November di Tebingan Kuching yang bertujuan untuk menunjukkan rasa sokongan kepada usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membentangkan usul mendapatkan semula hak-hak Sarawak seperti dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sehubungan itu jurucakapnya, Peter John Jaban berkata, rakyat Sarawak dipelawa menyertai perhimpunan tersebut.

Memetik laporan Utusan Borneo, John melahirkan keyakinan ramai orang membanjiri Tebingan Kuching untuk menyokong usul tersebut.

"Kita mengalu-alukan penyertaan semua rakyat Sarawak menyaksikan detik bersejarah ini antara jam 8 pagi hingga 10 pagi di seberang Sungai Sarawak berdepan bangunan DUN.

“Polis telah dimaklumkan (mengenai perhimpunan ini) dan pengurusan Tebingan Kuching bersedia, sekarang terpulang kepada rakyat bersama-sama membuktikan kepada kerajaan pusat, rakyat Sarawak menyokong usul ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut melahirkan rasa gembiran dengan Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di Sarawak yang mengetepikan perasaan prejudis masing-masing untuk mempertahankan hak-hak Sarawak dalam Persidangan DUN akan datang.

“S4S akan menyokong usul mendapatkan semula status Sarawak daripada kerajaan persekutuan, sebab itu kita meminta rakyat menyokong DUN Sarawak membentang usul ini untuk mempertahankan status negeri ini sebagai salah satu daripada tiga wilayah autonomi dalam Persekutuan Malaysia.

“Ini adalah langkah pertama antara yang banyak tetapi signifikan… satu pengiktirafan kepada kedudukan kita sebagai rakan pengasas dengan hak istimewa dibincangkan di bawah salah satu dokumen penting penubuhan kita,” tambahnya.

Justeru beliau menggesa orang ramai menyertai perhimpunan itu untuk memberi-tahu wakil-wakil rakyat yang bersidang bahawa 2.6 juta rakyat Sarawak menyokong mereka membentangkan usul tersebut.

Persidangan DUN kali ini akan bermula pada 21 hingga 31 November.

Sebelum ini Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memaklumkan kepada media bahawa satu usul komprehensif atau menyeluruh meliputi semua aspek hak-hak Sarawak termasuk Akta Laut Wilayah 2012 akan dibentangkan.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA