Rumah Nyaris Terbakar Lupa Tutup Air Dapur



KUCHING - Tindakan pantas sepasukan anggota bomba berjaya menyelamatkan sebuah rumah daripada terbakar di Tabuan Jaya pagi tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 9.50 pagi melaporkan ada asap putih keluar dari celahan struktur belakang rumah tersebut.

Katanya, bertindak hasil laporan, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira 9.56 pagi.

"Sebaik tiba, anggota bomba mendapati penghuni tiada di rumah dan mereka terpaksa membuka kunci pagar belakang untuk masuk melalui pintu dapur.

"Anggota mendapati asap terjadi disebabkan lauk yang dimasak di dalam periuk telah kering dan hampir mengalami kebakaran kecil," katanya di sini hari ini.

Ling Hii berkata anggota bomba kemudian bertindak menutup valve dapur memasak dan membuka tingkap dapur untuk pengudaraan.

"Pihak polis dimaklumkan mengenai perkara tersebut," katanya. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA