Rumah Berkualiti, Selamat Dan Kondusif Jadi Keutamaan


KUCHING: Kementerian Perumahan dan Urbanisasi akan terus memberi keutamaan membina rumah berkualiti yang selamat dan kondusif untuk pembeli rumah, kata Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, tiga agensi iaitu Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC), Borneo Development Corporation (Sarawak) Sdn Bhd dan Daya Builders Sdn Bhd akan diberi tanggungjawab membina rumah tersebut.

"Kita komited untuk terus membina rumah berkualiti yang selamat dan kondusif," katanya pada Majlis Menandatangani Dokumen Kolaborasi Kementerian Perumahan & Urbanisasi dan CIDB Sempena Seminar Pemantapan Kualiti Pembinaan Negeri Sarawak 2016 di sini, hari ini.

Menurutnya, pemaju swasta turut dikawal selia menerusi ordinan dan peraturan selain melindungi pembeli rumah menerusi Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.

Sementara itu pada sidang media, beliau menjelaskan, pada masa ini kerajaan negeri melaksanakan program pembaharuan bandar dengan melibatkan tiga bandar besar seperti Kuching, Miri dan Sibu.

"Di Kuching kita ada Projek Darul Hana yang dihubungkan dengan tapak sejarah manakala pembangunan bandar di Sibu dan di Pujut, Miri," ujarnya.

Pembangunan di bahagian baharu, Serian turut diberi keutamaan.

Dalam perkembangan sama menurutnya, peraturan dan syarat baharu pembangunan perumahan di negeri ini akan diumumkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.-Sarawakiana






No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA