ROS Batal Pendaftaran Jika PPBM Masih Degil Guna 'Bersatu'


Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memberi amaran kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) supaya tidak menggunakan nama singkatan parti BERSATU dalam mana-mana program yang dianjurkan.

Mengikut satu surat yang ditulis kepada Setiausaha PPBM, ROS mendapat maklumat bahawa parti itu masih menggunakan nama dan panggilan BERSATU dalam program dan aktiviti yang dijalankan mereka.

Justeru, PPBM diingatkan supaya tidak lagi menggunakan nama singkatan berkenaan selain nama yang sudah didaftarkan.

“Jika terdapat bukti yang menunjukkan PPBM masih menggunakan nama atau panggilan BERSATU dalam apa-apa keadaan sekali pun, jabatan ini tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan pendaftaran parti itu.

“Setiap pemegang jawatan pertubuhan bertanggungjawab mematuhi Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984.

“Kegagalan mematuhi kehendak Undang-undang Tubuh Parti dan Akta 355, boleh menyebabkan tindakan diambil seperti ditetapkan mengikut peruntukan akta ini,” menurut surat itu.

Surat itu dihantar oleh Pendaftar ROS, Mohd Nawawi Mat kepada Setiausaha Agung, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh pada Rabu lalu.

Pada 8 September lalu, ROS meluluskan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, dengan singkatan nama PPBM.

Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohammad Razin Abdullah, berkata jika singkatan nama lain digunakan selain PPBM, parti itu boleh berdepan tindakan dibatalkan pendaftaran kerana melanggar perlembagaan parti, mengikut Akta Pertubuhan 1966. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA