Rooney Lonjak United, Cipta Rekod Penjaring Terbanyak


WAYNE Rooney menjadi penjaring terbanyak Manchester United dalam kejuaraan Eropah ketika pasukan kendalian pengurus Jose Mourinho itu menewaskan Feyenoord 4-0 pada aksi peringkat kumpulan Liga Europa, awal pagi Jumaat.

Kapten Red Devils itu menjaringkan gol ke-39nya di peringkat Eropah untuk United apabila merembat masuk hantaran Zlatan Ibrahimovic.

Rooney kemudiannya membantu mencipta gol kedua pada minit ke-69 dengan melakukan hantaran untuk disudahkan Juan Mata.

Tuah terus mengiringi United apabila bekas penjaga gol Liverpool, Jones tertampan masuk hantaran Ibrahimovic ke gawang sendiri sekali gus menghadiahkan gol ketiga untuk pasukan tuan rumah.

Jesse Lingard merembat masuk gol keempat pada masa kecederaan untuk memberikan kemenangan terbesar buat Mourinho.

Keputusan seri atau menang di Zorya Luhansk pada aksi final peringkat Kumpulan A pada Khamis akan membawa United melangkah ke kelompok 32 pasukan terakhir.

Henrikh Mkhitaryan yang dibeli pada musim panas lalu mempamerkan persembahan menakjubkan pada perlawanan tersebut.

Mourinho berkata bekas pemain Borussia Dortmund itu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan kekuatan dan keagresifan bola sepak Inggeris.

Pemain berusia 27 tahun itu melakukan enam percubaan termasuk bola yang berjaya dihalang pemain Feyenoord.

"Ia satu keseronokan apabila dapat bermain semula. Amat sukar untuk melihat pasukan dari sebelah tetapi anda perlu bersemangat dan bekerja keras untuk mencuba dan mengambil peluang anda yang seterusnya," katanya.

Sementara itu, Mourinho memuji kebangkitan Rooney selepas dikritik hebat penyokong susulan prestasinya yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

"Orang sepertinya (Rooney) tidak lagi perlu menjawab sebarang soalan, hanya nikmati beberapa tahun lagi dalam kariernya dan mempamerkan persembahan terbaik.

"Itu yang cuba dilakukannya. Lebih penting, hakikatnya kami memerlukan satu mata untuk meneruskan kemaraan," kata Mourinho.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA