RM504 Juta Bina 16 Buah UTC Seluruh Negara


Kerajaan sudah memperuntukkan RM504 juta untuk membuka 16 buah Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara dimana kos penubuhan untuk setiap UTC adalah dalam lingkungan RM7 juta sehingga RM50 juta.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Othman Aziz, jumlah peruntukan tersebut bergantung dengan lokasi, saiz dan kompleksiti sesebuah bangunan yang dijadikan UTC.

“Untuk makluman, UTC tidak dibina secara baharu tetapi ditubuhkan dengan mengubahsuai bangunan sedia ada kerajaan yang tidak digunakan secara optimum atau usang dalam usaha mengurangkan kos penubuhan UTC,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen DAP Lanang, Alice Lau Kiong Yieng di Dewan Rakyat, Selasa.

Terdahulu, Kiong Yieng meminta kerajaan menjelaskan berapa jumlah peruntukan untuk penubuhan UTC dan jumlah UTC yang bakal dibuka serta keberkesanannya setakat ini.

Mengulas lanjut, Othman yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017, kerajaan akan menubuhkan UTC di Perlis, Selangor, Negri Sembilan dan Pulau Pinang kerana semua negeri ini masih belum mempunyai UTC.

“UTC merupakan salah satu inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang bertujuan menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti bandar.

“Berdasarkan objektif penubuhan UTC untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti bandar, keberkesanan UTC dinilai berdasarkan jumlah pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan di UTC.

“Sejak 2013, sehingga September 2016, seramai 37,739,965 orang jumlah pelanggan direkodkan di semua UTC seluruh negara,” ujarnya. - bnbcc

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA