RM500,000 Diperuntuk Sedia Bas Sebagai Mahkamah Bergerak Di Sarawak


SUNGAI ASAP: Sebanyak RM500,000 diperuntuk bagi menyediakan sebuah bas sebagai mahkamah bergerak di Sarawak berikutan keberkesanan pendekatan yang telah dilaksana di Sabah.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria berkata, bas tersebut lengkap dengan kemudahan komputer, satelit yang memudahkan pengurusan kes berkaitan dan kemudahan bas bagi mahkamah bergerak ini akan ditambah untuk Sarawak sekiranya tidak mencukupi.

Beliau berkata, setakat ini terdapat hanya sebuah mahkamah bergerak untuk Sarawak yang memberi akses kepada penduduk luar bandar ke mahkamah tanpa perlu pergi ke bandar besar seperti Kuching, Bintulu dan sebagainya untuk pengurusan kes.

“Mahkamah akan datang kepada mereka untuk memberi khidmat-khidmat yang perlu antaranya pesuruh jaya sumpah akan datang untuk buat sumpah atau untuk membantu menyediakan permohonan mendapatkan sijil kelahiran.

“Semuanya boleh dibuat di mahkamah bergerak ini,” ujarnya semasa ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program Bilik Mahkamah Bergerak Sarawak di Uma Belor, Sungai Asap semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Dean Wayne Daly, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Dato’ Sri Latifah Mohd Tahar, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak Jasni Jobli, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Ipoi Datan dan Penghulu Umar Belor Saging Bit.

Tun Arifin berkata, mahkamah bergerak itu seperti mahkamah biasa yang lengkap dengan pelbagai kemudahan, malah boleh dimanfaatkan oleh pihak yang ingin memfailkan tindakan atau perbicaraan.

“Ia memang bagus dan efektif seperti yang telah dibuat di Sabah yang menampakkan keberkesanannya,” jelasnya.

Sementara itu, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Panglima Richard Malanjum berkata, beliau memperkenalkan mahkamah bergerak di Sabah pada tahun 2007.

Katanya, kelewatan memperkenalkan mahkamah sedemikian di Sarawak berikutan pihaknya ingin melihat kesan pelaksanaannya di Sabah.

“Kali ini, kita memberi tumpuan kepada Sarawak dan sekiranya pelaksanaannya dilakukan serentak di kedua-dua negeri ini kemungkinan akan timbul masalah,” jelasnya.

Katanya lagi, pelbagai kes diurus di mahkamah tersebut, antaranya kes yang tidak dibicarakan termasuk jenayah dan sebagainya.

Richard berkata, mahkamah bergerak yang dilancarkan di negeri ini akan dimulakan pelaksanaannya di Sungai Asap dengan menempatkan bas baharu.

“Di Sabah, kita mempunyai tiga mahkamah bergerak dan di Sarawak untuk permulaan disediakan sebuah,” katanya.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA