RM10 juta untuk biasiswa, pinjaman kepada pelajar

KUCHING: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada Yayasan Sarawak untuk tujuan memajukan pemberian biasiswa dan pinjaman terutama kepada pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Peruntukan tersebut diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Yayasan Sarawak Ke-45 di sini malam kelmarin.

Bagaimanapun katanya, Yayasan Sarawak perlu bekerja keras dan lebih gigih dalam usaha mencari sumber pendapatan alternatif lain supaya dapat terus menyumbang ke arah pembangunan pelajar di negeri ini.

“Sekarang kita harus mula memikirkan saluran lain untuk menjana pendapatan agar Yayasan Sarawak dapat bersikap lebih liberal dalam aspek pembiayaan biasiswa kepada pelajarnya.

“Justeru, carilah sumber pendapatan alternatif dan jangan terlalu bergantung kepada pendapatan hasil pembalakan dan perladangan di negeri ini kerana kedua-duanya adalah terhad dan semakin berkurangan,” katanya.

Pada majlis itu juga, turut berlangsung Majlis Penyampaian Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak Ke-24, menyaksikan 17 anugerah disampaikan kepada penerima.

Jelasnya, terdapat banyak kes melibatkan pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana dan sebagainya di luar negara, khasnya amat memerlukan bantuan.

“Tidak ada guna jika kita mengetepikan sesiapa sahaja yang berhasrat mahu melanjutkan pengajian dan seharusnya kita berusaha memperluaskan bidang tidak hanya untuk masyarakat Bumiputera bahkan juga untuk masyarakat bukan Bumiputera Sarawak,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan sekali lagi mempertahankan pendirian kerajaan negeri untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di negeri ini.

“Saya bertegas untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di Sarawak dan saya tidak kira apa yang diperkatakan oleh kerajaan persekutuan mengenai perkara ini.

“Kita tidak mahu graduan kita pada hari ini tidak dapat berdaya saing dalam sektor pekerjaan hanya kerana bermasalah tidak fasih berbahasa Inggeris,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang berkata, majlis anugerah itu diadakan setiap tahun bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan atas daya usaha serta kegigihan para pentadbir sekolah, guru, PIBG dan pelajar membangun dan memperkasa sekolah menerusi pemupukan budaya kecemerlangan.

Jelasnya, Yayasan Sarawak akan terus mengukuhkan jaringan dengan Jabatan Pendidikan Sarawak dan beberapa agensi lain dalam pendidikan menerusi beberapa program yang dianjurkan.

Turut hadir isteri Adenan, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, barisan menteri dan menteri muda kabinet serta warga kerja Yayasan Sarawak. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA