RIMBA SARAWAK : 12 Spesis Baru Ditemui


KUCHING : Penemuan sebanyak 12 spesis baharu hidupan liar di ‘Kawasan Terlindung Penuh Negeri’ (TPAs) membuktikan reputasi Sarawak sebagai satu daripada 12 pusat mega biodiversiti dunia sekaligus dijadikan pusat tumpuan kajian biologikal.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, penemuan 12 spesis baru hidupan liar hanya dengan satu pasukan saintis adalah testimoni terbaik kepada potensi penemuan yang lebih besar di Taman Negara Sarawak

“Penemuan ini juga merupakan testimoni yang mengesahkan hutan kita tidak musnah seperti tuduhan sesetengah Badan Bukan Kerajaan (NGO) malangnya, mereka pasti akan terus melakukan tuduhan lain selepas ini,” katanya

Beliau berkata sedemikian pada majlis perasmian Rimba Rumblings anjuran Sarawak Forestry di sini hari ini.

Tegas beliau, sebagai Ketua Menteri Sarawak dan menteri yang bertanggungjawab dalam pengurusan sumber dan persekitaran, beliau akan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan biodiversiti taman negara kita dan komitmen untuk melindungi persekitaran kekal menjadi agenda utama Kerajaan Negeri.

RIMBA Sarawak merupakan satu projek istimewa yang dilancarkan oleh beliau sekitar Ogos tahun lepas sempena pengisytiharan polisi baru tentang keterbukaan dalam pembangunan dan penyelidikan biodiversiti dan undangan saintis antarabangsa untuk melakukan kajian dalam TPAs.

Sebagai tanda penghargaan, salah satu daripada 12 spesis hidupan liar baharu tersebut telah dinamakan ‘Begonia Jamilahanuiana’ sempena nama isteri Ketua Menteri Sarawak, Datin Patinggi Jamilah Anu. - Sarawakiana



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA