Regata: Landas 4 Raja Sungai Batang Kayan

LUNDU: Landas 4 merangkul gelaran Raja Sungai Batang Kayan selepas menjuarai Kategori Bidar 30 Pekayuh Lelaki, Regata Batang Kayan 2016 semalam.

Landas merampas gelaran tersebut yang dipegang oleh Sinaran Ratu Balqis pada tahun lepas, yang sekadar berpuas hati di tempat ketiga tahun ini.

Manakala Puteri Dang Balai menamatkan perlumbaan yang disaksikan lebih 5,000 orang itu di tempat kedua.

Bidar 20 Pekayuh Lelaki pula dimenangi Landas 8 menewaskan Buraq Terbang 3 dan Landas 9 di tempat kedua dan ketiga.

Sementara Kategori Bidar 15 Pekayuh Lelaki didominasikan pasukan Landas apabila juara, naib juara dan tempat ketiga masing-masing dimenangi Landas 19, Landas 15 dan Landas 17.

Kategori Bidar 10 Pekayuh Lelaki pula dimenangi Yayasan Sarawak Puteri Dang Balai manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang Landas 23 dan Chaya Intan 3.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar dan Perikanan Datuk Julaihi Narawi bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Regata Batang Kayan 2016 menarik lebih 20 pasukan lumba perahu panjang itu sempena sambutan Pesta Lundu 2016 yang berakhir semalam. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA