Ratu Elizabeth jemput Trump ke Britain

LONDON – Ratu Elizabeth dilaporkan akan menjemput bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Do­nald Trump bagi lawatan negara ke Britain pada tahun hadapan.

Tindakan itu bertujuan untuk cuba mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara itu, menurut akhbar The Sunday Times.

Akhbar itu, yang memetik kata dua orang menteri dan seorang pegawai kanan yang mempunyai hubungan rapat di Downing Street melaporkan bahawa satu perbincangan antara pegawai rasmi Bri­tain dan kumpulan Trump akan diadakan tidak lama lagi.

Pertemuan itu adalah untuk memastikan tarikh lawatan negara boleh ditetapkan antara bulan Jun atau Julai tahun hadapan.

Britain dilaporkan mahu menguatkan ‘hubungan istimewa’ dengan AS pada ketika Perdana Menteri, Theresa May bersiap sedia untuk membawa Britain meninggalkan Kesatuan Eropah.

Trump mempelawa May untuk menziarahi beliau secepat mungkin ketika kedua-dua pemimpin itu berbual menerusi panggilan telefon selepas pengumuman keputusan pilihan raya Presiden AS baru-baru ini, menurut pejabat Perdana Menteri Britain itu.

Sumber terdekat kepada May memberitahu tarikh tersebut masih belum ditetapkan lagi. – Reuters/kosmo

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA