Ratu Elizabeth Digesa Bayar Sendiri Kos Baik Pulih Istana Buckingham


LONDON: Beribu-ribu orang telah menandatangani satu petisyen secara online yang menggesa Ratu Elizabeth II membiayai sendiri kos hampir 370 juta paun bagi kerja membaik pulih Istana Buckingham dan tidak menggunakan wang pembayar cukai, lapor Press Trust of India (PTI).

Kempen 'Make Royals Pay for Palace Renovation' telah diwujud di laman sesawang 38 Degrees dan mengumpul sejumlah 88,389 tandatangan dalam tempoh beberapa hari sejak kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan pada Jumaat bahawa Istana Buckingham akan menjalani pengubahsuaian penting yang menelan kos sebanyak 369 juta paun.

Ratu berusia 90 tahun itu akan terus tinggal di Istana Buckingham semasa kerja pengubahsuaian dilakukan, yang dijangka bermula pada April tahun depan.

Anggaran bajet isi rumah Ratu Elizabeth II telah dinaikkan sebanyak 66 peratus untuk membayar kos membaik pulih istana itu yang terletak di pusat bandar London.

"Kita sedang berdepan krisis perumahan negara yang menyaksikan pelbagai langkah penjimatan di kebanyakan perkhidmatan barisan hadapan, dan keluarga diraja mengharapkan kita untuk lebih berjimat bagi membiayai kos baik pulih Istana Buckingham. Kekayaan keluarga diraja adalah tak ternilai. Perkara ini, dalam perkataan lain, adalah keterlaluan," kata petisyen itu yang ditujukan kepada Canselor UK.

Kekayaan peribadi Ratu Elizabeth II dianggarkan sebanyak 340 juta paun dan baginda turut memiliki beberapa kediaman lain iaitu Rumah Sandringham serta Kastil Balmoral di UK.

Petisyen itu mendesak agar dana bagi kos baik pulih diambil daripada kekayaan Ratu Elizabeth II, bukannya daripada pendapatan negara, yang disalur kepada Perbendaharaan UK dan terdapat peratusan tertentu yang diberi kepada Ratu Elizabeth II dalam bentuk Geran Diraja.

Canselor Bayangan UK John McDonnel memaklumkan BBC News bahawa sebarang sumbangan daripada Ratu Elizabeth II adalah dialu-alukan.

"Ia adalah sebuah bangunan awam, satu tugu awam dan merupakan sebuah bangunan warisan, jadi kita perlu melabur untuk memuliharanya. Jika Ratu Elizabeth II dan Keluarga Diraja berhasrat mempertimbang untuk memberikan sumbangan, saya pasti tidak akan memulangkan ceknya," kata beliau.

"Perkara ini menunjukkan bahawa kita memerlukan wang untuk membina serta menyelenggara bangunan dan kita mampu berbuat demikian. Jadi, kita akan membina rumah dan kita juga harus menangani masalah penyelenggaraan yang dihadapi rakyat," katanya.

Ratu Elizabeth II menghabiskan masa kira-kira empat bulan setiap tahun bagi menganjurkan majlis jamuan teh, resepsi, istiadat pengurniaan dan acara lain di kediaman rasmi baginda itu.

Kerja yang perlu dijalankan mencerminkan usia bangunan itu, yang pertama kali digunakan sebagai istana diraja oleh Ratu Victoria, dan tidak pernah dibaik pulih sejak 1952, iaitu tahun ketika Ratu Elizabeth II menaiki takhta.

Apabila kerja baik pulih selesai pada 2027, geran diraja dijangka kembali kepada kadar semasa iaitu sebanyak 15 peratus.

-BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA