Rakyat Jepun Gemar Bawa Telefon Pintar Ketika Mandi



TOKYO: Rata-rata rakyat Jepun dilaporkan menggunakan telefon pintar ketika mandi selepas statistik menunjukkan hampir 95 peratus gajet di negara itu dihasilkan dengan ciri kalis air.

Penghasilan telefon kalis air di Jepun sudah dilaksanakan sejak hampir 10 tahun lalu tetapi kajian lanjut mendapati rakyat negara Matahari Terbit itu sangat taksub dengan penggunaan gajet sehingga membawa peralatan elektronik tersebut semasa mandi.

Telefon bimbit kalis air pertama di dunia, Casio Canu 502s dihasilkan pada 2005 sebelum disusuli beberapa siri produk yang sama oleh Fujitsu.

Sejak itu, peralatan elektronik kalis air mula berkembang sehingga mengheret syarikat besar Korea Selatan seperti LG dan Samsung untuk mengikut trend di Jepun.

Pengarah Komunikasi Global LG, Ken Hong berkata, di Jepun, gajet kalis air lebih penting berbanding memikirkan ciri-ciri lain.

"Bagi produk LG, kami perlu memastikan ciri tersebut dipasang pada produk kami untuk memenuhi kehendak pelanggan di Jepun," katanya.

Beberapa tahun lalu, Pegawai Eksekutif Panasonic, Tako Itakura berkata, syarikat elektronik tidak boleh menjual produk mereka jika tidak mempunyai ciri kalis air.

"Kira-kira 90 peratus sehingga 95 peratus telefon pintar yang dijual di Jepun memiliki ciri tersebut.

"Ini kerana trend wanita muda di Jepun suka menggunakan telefon pintar ketika mandi," katanya. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA