Rakyat digesa amal gaya hidup sihat


SADONG JAYA: Majoriti rakyat negara ini menggunakan kemudahan penjagaan kesihatan awam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau mendedahkan bahawa 75 peratus rakyat Malaysia menggunakan sistem rawatan hospital dan 90 peratus penduduk menggunakan sistem rawatan pesakit luar penjagaan kesihatan awam.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat di negara menitikberatkan amalan gaya hidup sihat bagi memastikan peratusan tersebut dapat dikurangkan.

“Bayangkan pada 2030, jika rakyat di negara ini tidak mengamalkan gaya hidup sihat, walau berapa banyak sekalipun hospital dan peruntukan kesihatan diberikan kerajaan, sudah tentu tidak akan dapat menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Komuniti Sihat Bersepadu N24 Sadong Jaya di sini kelmarin.

Program itu merupakan anjuran bersama Pertubuhan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), Jiran Wanita, Kumpulan Penyusuan Sokongan Susu Ibu, Pejabat Kesihatan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN), Kelab Warga Emas dan Klinik Sadong Jaya.

Sehubungan itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, adalah menjadi peranan semua pihak untuk memastikan perkara itu tidak berlaku dan pembabitan NGO, pihak swasta serta pertubuhan-pertubuhan daripada kalangan anak-anak muda amat dialu-alukan.

Menurutnya, selain menganjurkan program-program seperti ceramah atau bengkel kesihatan, pendekatan baharu yang lebih kreatif dalam membantu menyelesaikan cabaran perlu difikirkan bersama.

Tegasnya lagi, meskipun kadar bayaran perkhidmatan kesihatan awam di negara ini amat rendah, beliau berharap rakyat tidak memandang rendah tentang isu penjagaan kesihatan diri.

“Oleh yang demikian, kita harus berpegang dengan kata-kata mencegah lebih baik daripada merawat dengan penjagaan kesihatan yang proaktif,” ujarnya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA