PVTMS Tolak Kemasukan PAHLAWAN Ke Sarawak


KUCHING: Persatuan Veteran Tentera Malaysia Sarawak (PVTMS) menolak kemasukan pertubuhan Perihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (PAHLAWAN) ke negeri ini.

Pendirian tegas itu dinyatakan Presidennya Thomas Ling Kui Eng dengan menyifatkan PAHLAWAN adalah bukan organisasi untuk menjalankan aktiviti veteran yang berdaftar di bawah Akta Veteran 2012.

“Kami percaya persatuan-persatuan veteran Sarawak sudah melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya dalam menjaga dan memperjuangkan nasib ahli mahupun veteran Angkatan Tentera Malaysia amnya.

“Kita tidak perlu PAHLAWAN dari Semenanjung yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 sebagai organisasi untuk mewakili kita,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia Abdul Rahman Sapawi, Setiausaha Agung Persatuan Veteran Sarawak Rangers Kapten (B) Mohd Johari Ibrahim, Naib Presiden Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer Leftenan Kolonel (B) Fabian Wong dan ahli daripada persatuan-persatuan terbabit.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua warga veteran di Sarawak agar tidak mudah terpedaya atau hadir ke mana-mana majlis serta taklimat oleh PAHLAWAN.

“Jangan membiarkan diri dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencapai sesuatu kepentingan dengan agenda-agenda mereka sendiri,” katanya.

Difahamkan, PAHLAWAN telah mengadakan tuntutan lima perkara (T5P) di seluruh Malaysia iaitu menuntut kenaikan pencen pesara veteran selaras dengan kenaikan gaji semasa dan menuntut kerajaan memberi imbuhan RM6,000 setahun kepada veteran yang tidak berpencen.

Selain itu ialah hak mewariskan pencen veteran pesara kepada waris terdekat selepas kematian pesara terutama isteri yang dinikahi selepas tamat perkhidmatan manakala kelayakan pencen terbitan harus untuk sepanjang hayat.

Organisasi itu turut menuntut penyeragaman pencen, pencen hilang upaya dan ex-gratia untuk semua veteran tentera hilang upaya, perang tanpa mengira tahun akhir perkhidmatan.

Malah, ia juga menuntut kerajaan menyediakan sebidang tanah atau rumah mampu milik/rumah kos rendah kepada veteran tentera selepas persaraan.

PAHLAWAN juga telah mengadakan jerayawara dan taklimat mengenai T5P di seluruh negara termasuk di Bau, Betong, Sibu dan Lundu.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA