Pulut Kuning, Sate Anak Muda Sabah Julang Nama Malaysia



PETALING JAYA – Siapa sangka sajian pulut kuning bersama rendang daging mampu melonjakkan nama seorang anak tempatan untuk bergelar juara di pertandingan memasakan peringkat antarabangsa.

Itulah yang dibuktikan oleh gadis kelahiran Sabah, Chef Safura Tawil apabila berjaya menjuara pertandingan ‘Embassy Chef Challenge 2016’ yang berlangsung di Ottawa, Kanada pada 3 November lalu.

Chef Safura Tawil menyajikan masakan tradisi Malaysia pada peringkat akhir pertandingan tersebut dan lebih mengejutkan lagi, beliau merupakan peserta termuda antara semua peserta lain yang bertanding pada ketika itu.

Kebanyakkan chef yang menyertai mempunyai pengalaman dalam dunia kulinari dan mempunyai buku tersendiri serta juga mempunyai rancangan masakan tersendiri.

Chef Safura telah memilih masakan tradisi Malaysia dengan menyajikan pulut kuning bersama rendang daging dan serunding, otak-otak bersama acar dan sambal udang dan sate ayam bersama kuah kacang, sekali gus menewaskan juara bertahan dari Trinidad & Tobago.

Beliau merupakan bekas penuntut Univerisiti Teknologi Mara (UiTM), jurusan diploma dan Ijazah Sarjana Muda Seni Kulinari, serta pernah menjalani latihan industri di dua hotel terkemuka di Malaysia iaitu Pullman Hotel dan Marriot Hotel Putrajaya.

Juri yang mengadili pertandingan ‘Embassy Chef Challenge 2016’ terdiri daripada Mrs. Margaret Dickerson yang merupakan seorang pakar makanan dan hiburan, Chef Tim Wasylko, yang merupakan chef kepada Perdana Menteri Kanada dan Chef Marc Lepine yang merupakan chef terkenal di Kanada dan memiliki restoran ternama iaitu Atelier di Ottawa. – mStar Online

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA