Protes Anti Trump Bertukar Ganas


WASHINGTON: Perarakan anti-Trump di seluruh Amerika Syarikat (AS) bertukar ganas ketika puluhan ribu penduduk berkumpul menentang presiden baru negara itu sebelum penunjuk perasaan menyerang polis, memulakan kebakaran dan menutup lebuh raya.

Jalan raya di Oakland, California diselaputi asap pada Khamis apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan penunjuk perasaan menyalakan api, dalam apa yang menjadi bantahan paling ganas dalam banyak tunjuk perasaan membantah kemenangan Donald Trump.

Lebih 6,000 penunjuk perasaan kelihatan di jalan raya di Oakland, dengan tunjuk perasaan secara aman bertukar ganas selepas beberapa penunjuk perasaan membaling botol ke arah pegawai dan membakar kereta polis.

Ribuan lagi membanjiri jalan raya di Los Angeles sebelum mengambil alih Lebuh Raya 110 manakala penunjuk perasaan lain berkumpul di luar Dewan Bandaraya, menyalakan api dan mencucuk poster kepala Trump dengan kayu.

Kira-kira 14 tangkapan dibuat di bandar raya itu. 

Sementara di New York, penyanyi Cher dan Madonna turut menyertai kira-kira 7,500 penunjuk perasaan yang terbahagi antara dua lokasi dengan Cher dilaporkan memberitahu seorang penyokong, mereka perlu 'berjuang.'

Kemenangan Trump mencetuskan gelombang tunjuk perasaan di seluruh negara. Bantahan menyebabkan aliran trafik terhenti di Chicago, Illinois; Portland, Oregon dan San Francisco, California.

Di luar Rumah Putih, lilin dinyalakan sebagai membantah dasar politik Trump. 

Namun bantahan secara aman itu bertukar kecoh, dengan sekurang-kurangnya seorang penunjuk perasaan dihumban ke dalam van oleh Perkhidmatan Rahsia. - AGENSI

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA