Program VISTA Petronas Diperluas Ke IKM Bintulu



KUALA LUMPUR : Program Penajaan Institusi Vokasional dan Bantuan Latihan (VISTA) Petronas telah diperluaskan kepada Institut Kemahiran MARA (IKM) yang lain, dan kali ini IKM Bintulu.

Petronas dalam kenyataan semalam, berkata pada masa ini program berkenaan sudah diadakan di empat IKM iaitu IKM Sungai Petani, Kedah; IKM Tan Sri Yahaya Ahmad di Pekan, Pahang; IKM Jasin, Melaka dan IKM Kota Kinabalu di Sabah.

Langkah itu menjadi kenyataan melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Petronas dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini, yang ditandatangani oleh Naib Presiden Kanan, Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas Datuk Raiha Azni Abd Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah MARA (Pendidikan) Abd Halim Abbas.

Kerjasama itu akan menyaksikan komitmen Petronas menerusi Institut Teknologi Petroleum Petronas, termasuk pembangunan modul dan sukatan pelajaran tertentu bagi IKM Bintulu dalam menaik taraf program dan sesi latihan kepada pensyarah untuk meningkatkan keupayaan mereka.

Dr Raiha berkata Petronas gembira untuk mengukuhkan kerjasama yang sudah lama terjalin dengan MARA, sambil menambah bahawa melalui perkongsian itu, pelajar IKM boleh mendapatkan latihan dan pengetahuan teknikal berharga dengan infrastruktur yang baik.

"Sebagai sebuah syarikat minyak dan gas nasional, Petronas berpegang teguh dalam memperkasakan masyarakat melalui inisiatif yang memberi tumpuan kepada pendidikan, pembangunan dan kesejahteraan masyarakat serta alam sekitar," katanya.

Beliau berkata MoU itu juga merupakan satu lagi usaha bagi menyokong komitmen Petronas ke arah pembangunan tenaga kerja masa depan yang dapat memenuhi pasaran.

Sejak VISTA diperkenalkan pada 1992, Petronas sudah melabur lebih RM29 juta menerusi program berkenaan, yang memberi manfaat kepada lebih 4,000 pelajar.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA