Pengisytiharan 16 September 1963 Yang Dilupakan

gambar : http://www.sanibsaid.com/
Pada tahun 2013 timbul kumpulan yang menggelarkan diri sebagai Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang cuba menyelinap menghasut rakyat membawa agenda untuk keluarkan Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Namun kebelakangan ini kumpulan tersebut hampir tenggelam apabila timbul pula kumpulan Sarawak for Sarawakians (S4S) yang menguasai pentas untuk membawa agenda Sarawak keluar dari Malaysia.

Hakikatnya kumpulan ini tidak mengikuti sejarah sebenar bagaimana penubuhan sebuah negara Malaysia yang telah tercatit kesahihannya.

Semua dokumen berkaitan dengan penubuhan Malaysia telah dibentangkan dalam dewan legislatif semua negara dan negeri yang terlibat.

Walaupun masih sebuah koloni British, Majlis Negeri Sarawak telah membahaskan cadangan penubuhan Malaysia dan diluluskan oleh wakil rakyat Sarawak pada 26 September 1962.

Malah parlimen British sendiri mesti meluluskan koloninya Sarawak menyertai penubuhan Malaysia terlebih dahulu.

Begitu juga semua sultan dan negeri di Persekutuan Tanah Melayu berbuat demikian.

Dalam lain perkataan semua rakyat dan semua prosedur demokrasi berparlimen telah meluluskan penubuhan Malaysia.

Sebaliknya S4S terus mendesak dan mengelirukan rakyat Sarawak agar agenda mereka mendapat sokongan sehingga kumpulan ini melupakan apa yang telah tercatit serta tidak mendedahkan apa yang terdapat dalam Pengisytiharan telah dibaca oleh Dato’ Stephen Kalong Ningkan, Ketua Menteri Sarawak pada 16 September 1963.

“And whereas in pursuance of this principle Her Majesty’s Government by an agreement entered into on the 9th day of July, 1963, with the Government of the Federation of Malaya, the Government of the State of Singapore and the Governments of the colonies of Sarawak and North Borneo it was agreed that the State of Singapore and the Colonies of Sarawak and North Borneo shall be federated with the Federation of Malaya, and that the said Federation shall be known as Malaysia.”

Hanya kerana segelintir rakyat Sarawak yang menganggap negeri Sarawak mempunyai kedudukan istimewa ketika penubuhan Malaysia seolah-olah seperti Malaysia ini sebuah konfederasi dan bukan federasi. Sarawak menubuhkan Malaysia sebagai sebuah koloni dan bukan sebuah negara. Fakta ini terpahat dalam Proclamation telah dibaca oleh Dato’ Stephen Kalong Ningkan ketika itu dan fakta ini cuba diautakan mengikut versi S4S agar nampak logik bagi mengelirukan masyarakat.

Jelaslah di dalam dokumen ini fakta yang terpapar menunjukkan Sarawak bertaraf sebuah koloni, tanah jajahan Britain ketika menubuhkan Malaysia. Faktanya Sarawak bukanlah sebuah negara seperti yang dilaungkan oleh beberapa pihak di Sarawak yang kononnya pakar dalam sejarah dan hal ehwal Sarawak.

Perkara di atas seharusnya menjadi rujukan rakyat Sarawak agar tidak mudah terkeliru dengan setiap agenda yang berbentuk hasutan dan sebagainya. Rujukan fakta tersebut boleh dibaca menerusi penulisan pakar kajian sejarah Sarawak Datu Sanib Said dalam blog beliau http://www.sanibsaid.com/.
-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA