'Pork Free' Bukan Bermakna Ada Sijil Halal


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) hanya boleh menasihatkan umat Islam tidak mengunjungi premis atau restoran makanan berkonsepkan “pork free”.

Ini kerana katanya, untuk penguatkuasaan atau pemantauan premis dan restoran berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Saya jelaskan di sini, hal-hal berkaitan “pork free” ini adalah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Bagaimanapun, bagi mengelak orang Islam daripada berkunjung ke premis berkenaan, kita hanya nasihat dan beri peringatan supaya memilih premis atau restoran yang memiliki sijil halal yang sah,” katanya di Parlimen hari ini.

Menurut Jamir Khir, istilah “pork free” bukan bermaksud premis berkenaan memiliki sijil halal, tetapi ia berkaitan dengan restoran bukan Islam yang pelanggannya juga bukan Islam, yang tidak mengambil atau makan babi.

Katanya, JAKIM, JAIN dan MAIN hanya berbidang kuasa jika premis dan restoran makanan yang memperkenalkan konsep makanan “pork free” itu memohon sijil halal ataupun menggunakan sijil halal tanpa kebenaran. - malaysiagazette

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA