Populariti Mendadak, Gmie Mula Dikunjungi Saudara-Mara


SHAH ALAM: Penyanyi Gmie (Screen) masih tidak percaya dengan poulariti yang diraihnya selepas menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) apabila bilangan orang yang mengenalinya naik secara mendadak berbanding suatu ketika dahulu.

Gmie atau nama sebenarnya, Hajmi Ibrahim, 45, berkata, populariti itu juga memberi kesan terhadap kehidupan hariannya apabila saudara-mara mula datang menziarahinya semata-mata ingin bertemu dan mengambil gambar.

"Saya masih rasa seperti tidak percaya menerima ramai peminat secara tiba-tiba sejak menyertai program ini, malah ramai juga peminat baru yang sebelum ini tidak kenal pun saya sebagai seorang penyanyi.

"Malah, boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja saudara-mara saya yang datang dari jauh bertandang ke rumah untuk bertemu saya. Ia seperti hari raya pula rasanya," ujar Gmie kepada mStar Online.

Gmie ditemui selepas selesai konsert separuh akhir GV3 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam Ahad lalu.

Penyanyi yang popular sekitar tahun 90 an itu bakal membawakan lagu Bila Bulan Berwarna Biru dan Salam Terakhir pada malam akhir program tersebut Ahad ini.

Sementara itu, Gmie berkata selain rumah dikunjungi saudara-mara, dia juga mendapat perhatian yang luar biasa ketika ke pasar malam berhampiran kawasan kediamannya di Shah Alam.

"Kalau dulu orang buat tak tahu sahaja, sekarang ramai yang tegur saya dengan ucapan-ucapan yang baik. Mereka juga beri banyak makanan yang dijual untuk saya rasa.

"Tapi saya juga ada rasa bimbang bila ramai peminat, saya takut tidak dapat memberikan yang terbaik dan menghampakan mereka," ujarnya.

Selain itu, Gmie berkata, perjalanannya hingga ke peringkat akhir ini sedikit sebanyak membantu kumpulannya untuk kembali berada dalam industri.

Dia juga bersyukur kerana kesemua anggota kumpulan itu memberi sokongan penuh kepadanya untuk berjuang dalam pertandingan berkenaan.

"Selepas program ini saya sudah ada perancangan dengan Screen, saya tidak akan bergerak solo sebaliknya akan kekal bersama kumpulan saya," ujarnya.

Ditanya tentang kerjayanya sebagai seorang kerani di sebuah syarikat perkapalan, Gmie berkata dia tidak akan berhenti daripada pekerjaan tersebut.

"Saya sudah lama bekerja di sana, kira-kira lebih 20 tahun. Pihak majikan juga banyak memberi sokongan, malah menyediakan apa sahaja kelengkapan untuk menyokong saya pada setiap minggu," ujarnya.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA