Polisi Seimbang Pacu Pembangunan Sarawak



KOTA SAMARAHAN : Polisi seimbang yang diamalkan kerajaan selama ini berjaya memacu pembangunan di Sarawak seterusnya dinikmati masyarakat berbilang kaum, Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Biarpun polisi tersebut tidak popular suatu masa dahulu, beliau berkata, ia berjaya membangunkan Sarawak dalam aspek perpaduan kaum dan pembangunan bandar selain tidak melupakan pembangunan bandar.

"Ketika saya menjadi Ketua Menteri,  saya tidak begitu menghiraukan kaum Cina kerana mereka telah lebih kehadapan dalam aspek ekonomi dan mampu berdiri kukuh dan masyarakat luar bandar telah menjadi keutamaan kepimpinan ketika itu.

"Saya telah diajukan berbagai soalan kenapa masyarakat luar bandar diberi subsidi dan mereka di bandar tidak diberi kemudahan sedemikian dan saya menjawab kerana masyarakat luar bandar adalah penyumbang besar kemajuan masyarakat di bandar," katanya ketika melancarkan Perasmian Makmal Kajian Tanah Gambut di Samarahan pagi ini.

Menurut beliau, hasil memberi kelebihan kepada masyarakat luar bandar, maka masyarakat di bandar menikmati kemewahan apabila mereka diluar bandar menjadi nadi penggerak aktiviti niaga di bandar.

"Oleh itu pelbagai pendekatan kerajaan lakukan agar masyarakat luar bandar yang terdiri daripada berbilang kaum menikmati pembangunan yang sepatutnya agar seimbang dengan pembangunan di bandar.

"Pendekatan polisi tersebut telah berjaya dilaksanakan dan perpaduan kaum di Sarawak menjadi nadi penggerak pembangunan Sarawak pada hari ini," ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, adalah baik jika semua kaum mendapat nikmat pembangunan yang adil tanpa menjejaskan perpaduan kaum walaupun pendekatan polisi seimbang tersebut tidaklah begitu popular.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA