Polis Tidak Mengaku Salah Tipu Jual Kereta Terpakai PDRM


KUCHING: Seorang anggota polis yang ditahan kerana didakwa menipu dua individu berhubung jualan kereta terpakai Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengaku bersalah dan dibebaskan dengan dua penjamin serta RM15,000 jaminan semalam.

Suspek berusia 34 tahun itu dan berasal dari Jalan Nanas Barat Ulu dikatakan melakukan kesalahan pertama pada 15 Jun lepas di mana telah memperdaya seorang lelaki dengan menawarkan sebuah van milik PDRM yang dilelong.

“Mangsa yang percaya dengan tawaran suspek kemudian menyerahkan wang tunai RM11,350 sebagai bayaran untuk mendapatkan van tersebut sebelum menyedari dirinya ditipu dan terus melaporkan kepada pihak polis,” kata sumber.

Manakala kesalahan kedua dilaporkan berlaku pada 11 Julai dengan menawarkan sebuah kereta Proton Waja milik PDRM yang kononnya dilelong kepada seorang lelaki berusia 25 tahun.

Difahamkan, mangsa kemudian menyerahkan wang tunai RM1,340 kepada suspek dan tambahan RM1,680 lagi pada hari yang sama untuk urusan jual beli kereta tersebut.

“Bagaimanapun, mangsa yang curiga dengan perkara tersebut kemudian membuat laporan polis dan siasatan mendapati tawaran (kereta lelong) tersebut tidak pernah wujud,” kata sumber.

Suspek yang betugas di Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit kemudian ditahan di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan dan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam.

“Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mahkamah memberi tarikh sebutan 29 November 2016 dengan dua penjamin serta RM15,000 jaminan,” kata sumber.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA