Polis Sarawak Tahan 82 Individu "Kaki Judi"

Foto ihsan polis

KUCHING: Seramai 82 individu terbabit dalam aktiviti perjudian di negeri ini ditahan dalam 29 serbuan bermula 31 Oktober lalu sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata, sebanyak RM16, 277 wang tunai turut dirampas dalam serbuan melibatkan penjualan loteri awam terbuka tanpa lesen, judi dalam talian dan aktiviti sabung ayam.

Menurutnya, kesemuanya 82 individu berusia 16 hingga 76 tahun telah ditahan sepanjang operasi dijalankan.

"21 individu ditahan dalam 17 serbuan judi secara terbuka tanpa lesen manakala 16 individu ditahan dalam sembilan serbuan berjudi dalam talian dan seramai 45 individu “kaki judi” ditahan dalam tiga serbuan ketika sedang asyik menyabung ayam,” katanya dalam kenyataannya disini hari ini.

Kesemua peralatan dan barangan turut dirampas oleh pihak polis.

Dev menambah operasi membanteras aktiviti perjudian secara berleluasa akan diteruskan sepertimana arahan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor yang menegaskan agar semua ketua polis daerah dan anggota anggotanya dari cawangan siasatan jenayah bekerja keras dalam memastikan negeri ini bebas dari aktiviti perjudian haram.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA