Polis Nafi Mayat Kanak-Kanak Mangsa Dera Diawet



ALOR SETAR: Polis menafikan mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang maut akibat didera di Flat Paya Nahu, Sungai Petani pagi tadi diawet di dalam tong ikan seperti dilaporkan media tempatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md. Zukir Md. Isa berkata, sebaliknya polis tidak menolak kemungkinan suspek lelaki iaitu teman lelaki kepada ibu mangsa meletakkan ais ketul di dalam tong ikan berkenaan sebelum meletakkan pita pelekat di sekeliling penutup tong itu.

"Ia berdasarkan penemuan air di dalam tong berkenaan. Siasatan polis mendapati tiada bahan pengawet digunakan suspek untuk menyembunyikan mayat kanak-kanak tersebut," katanya di sini hari ini.

Awal pagi tadi, aduan diterima Polis Kuala Muda berhubung kes pergaduhan di flat berkenaan, membongkar kes penderaan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan membawa kepada penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan berbalut dengan selimut toto dan disorokkan di dalam tong dalam bilik di rumah terbabit.

Jelasnya, ketika tong itu dibuka, polis mendapati 60 peratus badan mangsa sudah pun reput akibat diletakkan lebih dua minggu di dalam tong berkenaan, manakala seluruh kulit serta rambut mangsa sudah terlerai dari badannya.

"Mayat dibungkus dengan selimut dan berada dalam kedudukan mengiring," katanya.

Terdahulu, nenek mangsa yang berusia lingkungan awal 60-an serta dua anggota keluarga datang untuk membuat pengecaman kira-kira jam 4.30 petang.- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA