Polis Minta Maklumat Video Viral Lelaki Dipukul


KUALA LUMPUR - Polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai kejadian seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh yang dipukul menggunakan kayu oleh seorang lelaki dalam satu klip video yang tersebar di laman sosial sejak semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini polis masih belum dapat mengenal pasti pelaku mahu pun lelaki yang menjadi mangsa dalam video terbabit.

"Diminta orang ramai yang mengenali lelaki yang memukul mangsa ataupun seorang lagi individu yang memakai baju Bersih itu untuk tampil menyalurkan maklumat.

"Kita amat alu-alukan maklumat serta kerjsama daripada orang ramai dalam usaha mengenal pasti individu yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Motosikal Kawasaki KLX250 Sumbangan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) kepada Polis Diraja Malaysia(PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Terdahulu satu klip video yang berdurasi 50 saat menjadi viral di laman sosial menunjukkan seorang lelaki memakai baju T berwarna biru bertindak agresif memukul seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh menggunakan sebatang kayu.

Turut kelihatan dalam video tersebut ialah seorang lelaki berkaca mata dan memakai baju Bersih. - K! ONLINE



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA