Polis Cari Dua Individu Sebar Maklumat Palsu Sindiket Curi Organ



KUCHING: Polis mengesan dua individu kerana menyebarkan maklumat palsu menerusi laman sosial mengenai kegiatan mencuri organ manusia di daerah Bau.

Individu itu dikenali sebagai Marcello Michell dan Puan Ivy Michell berdasarkan kepada akaun Facebook yang digunakan untuk menyebarkan berita berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata individu terbabit perlu menyerah diri kepada polis untuk membantu siasatan.

Katanya, mereka sengaja mahu mencetuskan rasa tidak tenteram masyarakat apabila mendakwa dua mayat kanak-kanak dengan beberapa organnya hilang ditemui di Kampung Daun, Singai dalam daerah Bau.

"Saya menegaskan laporan itu adalah palsu. Tiada kejadian pembunuhan untuk mendapatkan organ manusia berlaku di Bau atau mana-mana bahagian lain di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan laporan yang disebarkan, individu terbabit mendakwa seorang penjenayah ditahan di Kampung Daun selepas membunuh dua individu untuk diambil organ penting.

Individu terbabit turut mendakwa penjenayah menggunakan sebuah van berwarna putih bercermin gelap dengan tiga lagi penjenayah masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3), akta sama-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA