Polis Buru Geng Kapak


KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu dua anggota 'Geng Kapak' yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam di sekitar Ampang dekat sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata lelaki tempatan berusia 21 dan 25 tahun itu, yang dipercayai berada di kawasan Ampang, menjadikan kapak sebagai senjata dalam kegiatan samun mereka.

"Kumpulan ini aktif menyamun sejak dua tahun lepas menggunakan taktik menakutkan mangsa dengan mengacukan kapak ke arah mereka sebelum menyamun," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Beliau berkata dua lelaki berkenaan dikenal pasti selepas dalang kumpulan itu, lelaki berumur 21 tahun, ditangkap dalam serbuan di Jalan Mewah, Ampang Jaya di sini pada 18 November lepas.

"Dalam serbuan itu, polis turut menemui kapak, pisau, pemutar skru, empat telefon bimbit, beberapa kotak rokok pelbagai jenama dan sebungkus wang syiling," katanya.

Hamzah berkata lelaki itu dipercayai terlibat dalam lapan kes samun kedai serbaneka dan sebuah rumah.

Reman suspek selama tujuh hari berakhir hari ini dan akan disambung semula bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata secara berkumpulan, katanya. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA