PM Mahu Kementerian Guna Bajet 2017 Dengan Teliti


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu setiap kementerian memastikan perancangan terperinci disediakan bagi peruntukan dalam Bajet 2017 yang diluluskan malam tadi.

Perdana menteri berkata ini kerana kerajaan bertanggungjawab memastikan segala program diluluskan sampai kepada rakyat agar pelaksanaannya berkesan dan mencapai matlamat berdasarkan peruntukan diberikan dalam Rang Undang-undang Perbekalan 2017.

"Alhamdulillah, Rang Undang-undang Perbekalan 2017 atau Bajet 2017 telah pun diluluskan di Dewan Rakyat.

"Saya ingin setiap kementerian pastikan perancangan terperinci telah tersedia bagi peruntukan yang diberikan," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebook dan Twitter beliau hari ini.

Semalam, persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 menerusi undian belah bahagian dengan 105 Anggota Parlimen menyokong, 73 tidak bersetuju dan seorang tidak mengundi (berkecuali), selepas dibahaskan sejak 24 Oktober lepas.

Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan rang undang-undang itu pada 21 Oktober lepas yang memperuntukkan sejumlah RM260.8 bilion untuk perbelanjaan kerajaan pada 2017. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA