PM Harus Bertindak Pantas Dalam Isu MA63

KUCHING: Kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk mendengar dan membincangkan perkara berkenaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan terbuka membuatkan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) terpanggil untuk mengulas lebih lanjut dan pada masa yang sama mempertahankan idea yang diusul Presiden PRS Tan Sri James Jemut Masing.

Dalam kenyataan berkaitan, Ketua Penerangan Pemuda PRS Andy Lawrence menjelaskan bahawa Najib telah mempamerkan ciri-ciri sebenar pemimpin negara dengan keterbukaannya untuk membincangkan perkara berkenaan, akan tetapi Perdana Menteri haruslah menterjemahkan ia kepada bentuk tindakan.

"Beliau, Perdana Menteri telah mendengar begitu banyak luahan tentang MA63 yang sering diperkatakan oleh rakyat dan pemimpin Sabah dan Sarawak, dan kami percaya perbincangan telah bermula maka sekarang."

"Sekiranya keputusan perbincangan belum dapat dilakukan secara menyeluruh buat masa ini, tapi sekurang-kurangnya satu atau dua keputusan dapat diselesaikan seperti isu royalti minyak dan penurunan kuasa berkenaan pendidikan," katanya kepada Sarawakiana.

Beliau menjelaskan bahawa Sarawak tidak meminta lebih melainkan apa yang terdapat dalam MA63 tetapi perlu diingat bahawa ia seharusnya dibincangkan menerusi rundingan dan dilakukan dengan kadar segera.

Hak sebenar Sarawak telah dinyatakan oleh Presiden PRS dan Pemuda PRS turut menyokong presiden kerana percaya perbincangan lebih fokus kepada fakta sebenar dan menolak daripada mendengar kenyataan daripada pihak yang tidak berkaitan.

"Dalam hal tersebut, Perdana Menteri perlu menjelaskan mekanisma perbincangan dengan lebih terperinci bagaimana ia dilakukan dengan berfasa agar rakyat Sabah dan Sarawak dapat mengikuti perkembangan nya," ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa Pemuda PRS melihat isu ini adalah satu kepentingan hak Sabah dan Sarawak yang perlu dibincangkan supaya setiap keputusan akan dilakukan dengan baik dan faedahnya tetap dinikmati oleh kedua negeri berkenaan.

"Kita juga berharap kesemua parti politik tidak bertelagah dalam soal ini kerana Pemuda PRS lebih mengetengahkan setiap keputusan yang baik datangnya daripada perbincangan yang teliti dan teratur serta perlu memahami dari segi perspektif kenapa kedua negeri ini mempertahankan MA63," ujar beliau.

Dalam pada itu Ketua Pemuda PRS, Snowdan Lawan turut menyatakan bahawa isu MA63 sangat penting kepada golongan generasi muda. Sekiranya isu MA63 ini dapat diselesaikan dan ada kata putus, maka adalah lebih senang bagi kita untuk membuat perancangan dan hala tuju bagi golongan generasi muda demi masa hadapan mereka terutama dalam segi pendidikan dan usahawan.

"Ini kerana perancangan yang lebih proaktif dan efektif dapat dilakukan kerana sarawak telah mampu meningkatkan keberhasilan dan autonomi mentadbir.

"Kita harus ingat bahawa generasi muda adalah penting kerana mereka ini akan menjadi pelapis atau pemimpin kita di masa hadapan dan kita perlu mencorak masa depan mereka dengan lebih efektif, berkesan dan teratur," jelasnya. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA