Pilihan Raya Presiden AS Mustahil Untuk Dimanipulasi



Proses pengundian dan pengiraan undi bagi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dijalankan dengan kawalan keselamatan dan perlindungan tahap tertinggi yang menjadikannya hampir mustahil untuk dimanipulasi.

Apabila maklumat pengundi berdaftar disahkan di sebuah pusat pengundian, mereka akan diberikan kertas undi yang betul berdasarkan kawasan dari mana mereka datang.

Kertas undi ini akan disahkan sekali lagi oleh pegawai pilihan raya sebelum dipangkah oleh pengundi, dimasukkan dalam samput surat dan diletakkan di dalam peti undi.

Semua berlaku dalam bilik yang selamat, di bawah pemantauan beberapa pegawai polis, pegawai pilihan raya dan wakil parti.

Ia satu proses yang berjalan dengan lancar dan telus, kata Lembaga Pilihan Raya Cuyahoga County di Cleveland.

"Dalam minggu ini, kebanyakan pengundi boleh keluar dan masuk dari pusat pengundian dalam tempoh maksimum 10 hingga 15 minit," kata penolong eksekutif kepada pengarah, Greg Beyer.

Hanya sebuah pasukan dari kedua-dua Parti Demokrat dan Republikan dibenarkan untuk mengosongkan kotak-kotak undi di sebuah gudang yang terletak di tempat lain.

Mengikut undang-undang, proses pengundian awal dibuka sehingga 19 hari sebelum hari pengundian sebenar.

Ia kemudiannya diimbas dan dikira oleh sebuah mesin besar yang boleh menampung kertas undi yang banyak.

Namun, jumlah undi awal yang diperolehi tidak akan dijumlahkan sehingga proses pengundian ditutup pada hari mengundi sebenar.

Mesin-mesin itu mempunyai kad memori yang ditarik keluar setiap malam untuk merekodkan undi terbaharu.

"Bagi setiap mesin, ia mempunyai wakil Parti Demokrat dan Republikan yang meletakkan kad memori dengan cara selamat, dengan kedua-duanya menyimpan separuh daripadanya.

"Apabila pemilihan ditutup secara sah, mereka akan menarik keluar kad memori tersebut dan memuat naik jumlah undi," kata Brent Lawler, pengurus yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan calon dan pengundi di pejabat pilihan raya negara itu.

Lawler berkata proses pengiraan undi adalah selamat kerana mesin tidak dihubungkan dengan Internet dalam apa jua cara.

Setiap bilik yang mengandungi kertas undi juga dikawal ketat.

"Sepanjang tempoh 16 tahun saya berada di sini, menguruskan pengundi tidak hadir, adalah mustahil untuk memanipulasi proses pengiraan undi," katanya.

Calon Presiden Parti Republikan, Donald Trump berulang kali mendakwa pilihan raya presiden pada tahun ini dimanipulasikan dan enggan mengesahkan sama ada dia akan menerima keputusan tersebut jika tewas.

Trump turut menggesa penyokongnya supaya memantau pusat pengundian sehingga proses membuang undi selesai apabila mendakwa berlaku 'penipuan pengundi secara meluas'. - Mstar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA